KUALA LUMPUR: Polis menahan dua individu dan merampas dadah jenis methamphetamine seberat 93.8 kilogram dianggarkan bernilai RM3.1 juta dalam serbuan di Batu Caves, Ahad lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata berdasarkan siasatan awal terhadap masing-masing seorang lelaki tempatan dan warga Indonesia yang ditahan, mereka merupakan transporter atau penghantar bagi sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

"Kami dapati dadah ini diambil dari negara jiran di utara tanah air dan akan diseludup keluar untuk dipasarkan ke Indonesia, dan dikesan bergerak aktif sejak Januari lepas.

"Selain dadah, polis turut merampas tiga kenderaan dan wang tunai sebanyak RM500 dengan jumlah keseluruhan rampasan RM3.22 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di sini hari ini.

Beliau berkata serbuan pada 9.35 malam itu merupakan hasil maklumat awam yang mencurigai tindakan lelaki tempatan berumur 34 tahun itu yang bekerja sebagai mekanik kenderaan.

Hussein berkata penangkapan lelaki terbabit membawa kepada penemuan sebuah kereta Nissan Almera yang diletakkan di kawasan berhampiran dan menjumpai dadah yang diletakkan di dalam empat beg kanvas dan satu guni putih di tempat duduk belakang dan bonet.

Beliau berkata susulan penemuan itu, lelaki berkenaan membawa anggota ke sebuah kondominium berhampiran dan berjaya menahan seorang lelaki warga Indonesia berumur 42 tahun.

Menurut Hussein, lelaki tempatan terbabit mempunyai tiga kes lampau membabitkan jenayah dan dadah.

"Kedua-dua mereka direman hingga 22 Okt dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dan menambah polis sedang mengesan saki-baki individu yang terlibat dalam sindiket itu.

-- BERNAMA